Berita bernama pada 9 Nov. 2009
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=453703
KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) - Semasa Tan Kai Hee bangun untuk menerima anugerah bagi pihak Hai-O Enterprise Bhd dari majalah Forbes di Singapura pada Rabu, Pengarah Urusan berumur 72 tahun itu telah melakukan dengan rasa yang sangat bangga.Ini ialah kerana itu merupakan kali ketiga berturut-turut Hai-O Enterprise muncul sebagai salah sebuah syarikat tersenarai awam terbaik di Asia Pasifik kerana mencapai keuntungan dan pertumbuhan di bawah AS$1 bilion.Beliau sentiasa tersenyum sejak beberapa minggu lepas selepas diberitahu Hai-O Enterprise akan mencatatkan kejayaan yang sama bagi tahun ketiga berturut-turut dan ia lebih manis lagi apabila dipilih dari kalangan 25,000 syarikat di rantau ini."Semuanya kerana kerja keras dari semua pihak yang berkaitan syarikat ini," katanya di dalam satu temubual di pejabatnya di Klang.Tan mengakui bahawa selepas syarikatnya memenangi anugerah itu bagi kali kedua tahun lepas, beliau berazam untuk mempastikan syarikatnya memenangi anugerah itu lagi pada tahun ini.Bagi tahun berakhir 30 April, 2007, Hai-O Enterprise mencatatkan keuntungan pracukai RM3.607 juta dan ia meningkat kepada RM67.716 juta pada 2008 dan RM75.887 juta pada 2009.Bagi menunjukkan penghargaannya terhadap keputusan kukuh pada tahun ini walau pun berhadapan kemelesetan ekonomi, Tan telah memberikan ganjaran kewangan RM1,000 setiap seorang kepada kira-kira 500 pekerja di syarikat itu, tanpa mengira pangkat.Beliau juga meraikan mereka pada majlis makan malam dan memberikan mereka cuti rehat selama semingggu.Semasa ditanya mengenai resipi kejayaannya, Tan menyatakannya adalah hasil tanggung jawab dan pembuatan keputusan yang kolektif dan menyatakan "perpaduan merupakan kekuatan apabila kami semua memerah otak bersama-sama."Tan berkata Hai-O Enterprise bermula secara kecil-kecilan apabila "beliau dan beberapa rakan" yang menganggur memutuskan untuk melakukan sesuatu yang berguna bagi menyara keluarga masing-masing."Kami tidak mempunyai pekerjaan pada masa itu dan kami memutuskan untuk memulakan satu perniagaan. Dengan cara itu, kami akan dapat mencari wang bagi menyara diri sendiri dan keluarga masing-masing," katanya, samasa mengingati kesukaran yang dihadapi mereka kira-kira 35 tahun lepas.."Jadi, kami telah membuka satu kedai runcit yang menjual produk perubatan dari China. kami tahu produk sedemikian mempunyai permintaan yang baik dan ianya juga agak murah. kami juga tahu terdapat sebilangan besar orang mahu mendapatkannya. Kebanyakan rakan-rakan kami miskin, jadi kami dapatkan produk yang termampu oleh mereka."Nasib baik atau malangnya, kami menjadi semakin besar. Kami kemudiannya memutuskan jika kami menjadi semakin besar, kami akan dapat membantu lebih ramai orang. Jadi, disinilah kami selepas lebih 30 tahun. Asalnya, kami telah membeli dari para pengimport yang lain (di negara ini), kemudiannya kami juga menjadi pengimport secara langsung apabila kami telah semakin dikenali di kalangan syarikat farmaseutikal dan produk perubatan di China."Semasa kami bermula, strategi kami ialah untuk menjual produk perubatan yang telah teruji sejak ratusan atau ribuan tahun. Kami percaya kami tidak akan membuat kesilapan.Hari ini, Hai-O Enterprise, yang menjadi syarikat pegangan yang ditubuhkan pada 1975, telah menjadi nama sebutan di kalangan isi rumah di Malaysia yang menawarkan pelbagai ubatan China, tonik perubatan serta produk kesihatan, kecantikan dan penjagaan kesihatan.Syarikat itu kemudiannya menceburi bidang pemborongan, peruncitan, pemasaran pelbagai tingkat, pengeluaran farmaseutikal dan pengendalian klinik perubatan China moden selepas disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada 1996 dan kemudiannya dipindahkan ke Papan Utama pada 8 Oktober, 2007.Sambil menyifatkan Hai-O Enterprise sebagai industri rintang kemelesetan seperti yang ditunjukkan oleh perolehan yang kukuh walau pun semasa sukar, Tan berkata syarikat itu bermula dengan modal RM168,000 dan dibangunkan menjadi sebuah enterpris bernilai RM300 juta."Tiada kejayaan yang datang bergolek tetapi diperolehi melalui untung dan rugi...Hai-O telah mengharungi ribut taufan dan akhirnya mencapai kejayaan," kata usahawan itu yang menerima idea bahwa pertahanan terbaik bagi sesebuah enterpris ialah melalui pemotongan kos dan pengenalan sumber baharu perniagaan.Bagi pengetahuan, Hai-O Enterprise telah menjadi contoh sebagai sayrikat yang memberikan pulangan yang baik kepada para pemegang sahamnya dan dihormati oleh para penganalisis pasaran saham, jika dilihat dari laporan OSK Research, RHB Research dan Affin Securities baru-baru ini.Syarikat itu pernah melaksanakan komitmennya membayar dividen 50 peratus daripada keuntungan bersihnya. sebagai contoh, Hai-O yang mencatatkan keuntungan bersih RM21.384 juta pada 2007, telah membayar dividen RM10.937 juta kepada para pemegang sahamnya.Sama juga pada 2008, para pemegang saham menerima RM23.683 juta daripada keuntungan bersih RM48.535 juta.Mengenai tindakan murah hati itu, Tan menjelaskan: "Falsafah kami sangat mudah. Kita perlu juga memulangkan balik kepada masyarakat apa yang telah kita ambil atau mendapat faedah dari mereka. Hari ini, kami (para pengasas syarikat itu) tidak lagi miskin tetapi kaya pada nilai kertas. Kami menghargai para pemegang saham kami dan sebab itu kami memberikan mereka pulangan yang baik."Tan juga berbangga dengan apa yang telah dilakukan kepada orang Melayu dan komuniti Bumiputera dan apa yang telah mereka lakukan sebaliknya kepada syarikat itu. Hatinya juga tersentuh apabila mereka memanggilnya sebagai "ayahanda", sambil menyatakan itu merupakan cara panggilan yang beradab terhadap orang tua ini."Daripada 100,000 pengedar pemasaran pelbagai tingkat (MLM) dengan Hai-O Marketing Sdn Bhd, inisiatif MLM syarikat itu, kira-kira 90 peratus adalah Bumiputera."Saya suka semangat mereka "mengenang budi" selepas menjadi pengedar berjaya di dalam Hai-O Marketing. Tetapi, saya perlu sebut bahawa prestasi cemerlang mereka juga telah membantu memulihkan Hai-O Marketing yang pernah hampir musnah," katanya.Tan mendedahkan bahawa tenaga penggerak Hai-O Enterprise, yang merupakan entiti tersenarai, ialah Hai-O Marketing kerana ia mencatatkan 80 peratus daripada perolehan kumpulan itu.Bumiputera di dalam Hai-O Marketing, katanya telah menunjukkan mereka berupaya melakukan perniagaan mengikut cara istimewa mereka yang tersendiri sebagai pengedar MLM kerana kira-kira 50 hingga 60 jutawan Bumiputera telah diwujudkan di dalam proses perniagaan itu."Dan mereka adalah jutawan sebenar, dengan wang sebenar di dalam poket masing-masing, kumpulan ini dikenali sebagai "usahawan jutawan sejati." Ramai daripada mereka ada yang mendapat pendapatan lebih daripada saya dan saya berbangga dengan mereka. Kejayaan mereka membuatkan saya gembira. Ini dicapai melalui usaha kerja keras masing-masing, dan tiada lain dari itu."Saya juga suka dengan pendekatan mereka terhadap perniagaan MLM kerana Bumiputera biasanya melibatkan ahli keluarga masing-masing yang tidak seperti bukan Melayu yang lebih suka melakukannya secara sendirian. Itulah bezanya. Kemungkinan itu diperolehi dari semangat "gotong-royong" mereka dan mahu "berdikari" atau berdiri di atas kaki sendiri."Mereka bermula melalui pendekatan "satu keluarga, satu syarikat" dan mereka melakukannya dengan jayanya. Dengan permulaan hanya RM28, tiada yang menjadi penghalang. Mereka tidak perlu menyewa kedai untuk melakukan perniagaan dan juga ada fleksibel dari segi masa," kata Tan, yang disifatkan oleh Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tun Musa Hitam sebagai contoh di kalangan pedagang China Malaysia di atas usahanya untuk melahirkan ramai usahawan Bumiputera."Dari ramai kalangan sahabat taulan yang saya kenali, saya percaya Tan Kai Hee adalah salah seorang daripada mereka yang berkeupayaan untuk pergi jauh. Di dalam perniagaan MLM, ramai juga meniru apa yang telah dilakukan oleh orang lain tetapi beliau telah mengatasi ramai usahawan lain di dalam bidang sepertinya, dengan mewujudkan pengetahun dan cara yang unik tetapi orang lain berhadapan masalah bersaing dengannya," kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.Tan berkata daripada 100,000 pengedar MLM di dalam Hai-O Marketing, kira-kira 50,000 masih aktif manakala 10,000 berada pada ketegori sangat aktif dengan pendapatan bulanan mencecah lima angka. Majoriti daripada pengedar aktif MLM Hai-O Marketing mempunyai pendapatan beberapa ribu ringgit setiap seorang.Bagaimana pun, Tan tidak menyatakan daripada 4,000 hingga 5,000 yang menyertai sebagai pengedar MLM setiap tahun, hanya beberapa orang sahaja yang mencatatkan kejayaan hasil kerja keras dan titik peluh masing-masing."Tiada jalan singkat. Kejayaan yang dicapai menjadi lebih manis lagi apabila anda mencapainya melalui usaha titik peluh sendiri," katanya.Bagi menghargai para pengedarnya, Tan sedang menimbangkan untuk menyenaraikan Hai-O Marketing di Bursa Malaysia bagi menyediakan para pengedar MLM, terutama sekali Bumiputera, penglibatan yang lebih besar di dalam perniagaan.Sebagai tambahan, Tan juga telah melaksanakan pengembangan ke Indonesia sejak Ogos tahun ini, dengan menyasarkan untuk mendapat kira-kira 5,000 hingga 10,000 pengedar MLM di dalam tempoh setahun.Katanya budaya di Indonesia sama seperti di negara ini dan ramai rakyat Malaysia mempunyai saudara mara di negara itu."Itu merupakan bonus yang besar kepada pengedar MLM kami kerana mereka boleh menjangkau pasaran lebih besar melalui saudara mara masing-masing," katanya.Sejak sekian lama, Tan mengetahui bahawa beliau tidak boleh bergantung kepada percubaan dan kesilapan, atau nasib untuk mengekalkan kejayaannya.Satu cadangan yang sedang dirancangkannya ialah untuk mewujudkan satu kolej latihan "bagi memastikan kami mempunyai profesional yang akan dilahirkan nanti untuk memberitahu kami mengenai cara terbaik bagi kami lakukan bagi bergerak ke hadapan," katanya.Dengan lain perkataan, langkah itu ialah untuk memastikan Hai-O Group menjadi satu kumpulan syarikat yang lebih "berbisa lagi" di dalam industri farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.-- BERNAMA
3 years ago
0 comments:
Post a Comment