Hai-O berjaya lahirkan jutawan Melayu

Artikel di dalam Berita Harian pada 15 November 2009 (bersama keluaran khas Hai-O Marketing)

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20091115014635/Article/

Syarikat buktikan kerjasama kaum, produk, insentif menarik manfaatkan ekonomi rakyat

KUALA LUMPUR: Kemampuan mengekalkan gelaran syarikat terbaik Asia Pasifik oleh Forbes Asia bagi kategori jualan di bawah AS$1 bilion buat kali ketiga berturut-turut September lalu sememangnya menjadikan Hai-O Enterprise Berhad syarikat disegani dan melonjak nama Malaysia.

Hai-O adalah satu daripada lapan syarikat Malaysia di kalangan 25,326 syarikat senaraian awam di pasaran saham rantau ini di antara 200 syarikat bersaiz sederhana dan kecil terbaik di Asia Pasifik bagi 2009 oleh Forbes Asia bagi kategori jualan di bawah AS$1 bilion.

Kejayaan ketiga itu diperoleh selepas Hai-O yang meraih gelaran bagi kategori syarikat jualan langsung dan kosmetik mencatat pendapatan AS$122 juta dalam tempoh 12 bulan.

Berdasarkan kenyataan Forbes Asia, syarikat berkenaan dipilih susulan keupayaan mencatatkan peningkatan dari segi pertumbuhan jualan dan keuntungan yang konsisten dalam tiga tahun, jumlah hutang yang rendah dan prospek perniagaan yang kukuh, selain dijangka mampu mengekal prestasi itu pada suku akan datang.

Pengarah Urusannya yang juga Pengerusi Hai-O Marketing, Tan Kai Hee, berkata ada lapan faktor yang membawa kepada kejayaan itu dan paling utama adalah pembabitan usahawan Bumiputera.

"Pembabitan ramai usahawan Melayu sebagai pengedar yang kami anggap rakan kongsi sangat penting buat syarikat. Mereka mampu menghasilkan jualan yang besar, sekali gus membawa keuntungan besar buat syarikat," katanya di sini, semalam sempena ulang tahun ke-17 Hai-O.

Faktor pencapaian keuntungan seperti sasaran juga membawa kepada kejayaan di samping mampu mengekalkan prestasi sedia ada.

Memiliki produk yang bagus di samping corak pemasaran yang berkesan dan pelan pemasaran adil serta pemberian insentif menarik kepada rakan kongsi menjadi pendorong buat mereka bekerja lebih gigih.

Publisiti yang diberikan kepada produk dan syarikat serta kemampuan menangani setiap permasalahan dengan disemai semangat dan rasa cinta terhadap perniagaan yang dijalankan oleh usahawan dalam industri jualan langsung menjadi faktor kekuatan buat syarikat ini terus kukuh.

Kejayaan diraih Hai-O hasil gabungan antara struktur syarikat, sistem dan mekanisme yang baik sambil disokong oleh beberapa faktor di atas menjadi formula kejayaan syarikat.

Syarikat ini berjaya mencipta satu revolusi baru dalam sistem perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) di Malaysia serta melahirkan ramai usahawan Bumiputera.

"Rahsia kejayaan syarikat ini adalah usahawan Bumiputera yang menjadi rakan kongsi kami. Jumlah mereka 90 peratus daripada keseluruhan pengedar.

"Mereka ini mempunyai kepercayaan, sabar, saling menghormati, bertolak ansur dan bersikap pemaaf dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain dan bekerjasama," katanya mengulas sikap positif usahawan Bumiputera.

Dari segi kerjaya, mereka juga mempunyai latar belakang kerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, pensyarah, dekan, profesor, jurulatih, jururawat, guru dan kakitangan kerajaan di samping selebriti, ahli perniagaan dan pekerja biasa.

"Slogan 'Hai-O My Choice For Life' atau 'Hai-O Pilihanku' yang dicipta untuk usahawan Bumiputera membuatkan mereka ada rasa sayang dan bertanggungjawab kepada Hai-O.

"Mereka bekerja secara berdikari hampir 24 jam sehari dan saling berkongsi berita baik dengan ahli keluarga serta saling memperkenalkan peluang perniagaan yang baik disediakan Hai-O.

"Kebanyakan usahawan Hai-O tidak kira sama ada berasal dari bandar mahupun kampung, berjaya mengubah kehidupan mereka ke arah gaya hidup lebih selesa," katanya.

Kemampuan usahawan Bumiputera ini mengubah nasib hasil inisiatif mereka sendiri yang gigih memperkenalkan perniagaan itu dengan kemahiran dalam strategi pemasaran dan sentiasa berusaha memperkenalkan usahawan berpotensi ke dalam kumpulan mereka.

Sehingga kini, Hai-O memiliki lebih 120,000 pengedar, 10,000 daripadanya berpendapatan antara empat hingga lima angka dan dianggarkan 30 pengedarnya mendapat pendapatan enam angka dan dikenali sebagai 'Usahawan Jutawan'.

0 comments:

Post a Comment

รบ