Hai-O Marketing Sasar Jualan Produk RM40 Juta Sebulan

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=464068

(klik pada link untuk terus ke Bernama Online)
MELAKA, 23 Dis (Bernama) -- Hai-O Marketing Sdn Bhd, sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM), menyasarkan jualan 30,000 unit pelbagai produk bernilai RM40 juta sebulan, sebelum akhir tahun depan.

Pengarah Urusan Hai-O Enterprise Bhd, Tan Kai Hee berkata syarikat itu kini mencatatkan jualan kira-kira 20,000 unit pelbagai produk bernilai RM30 juta sebulan.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau yakin jualan produk akan terus meningkat disebabkan mutu produk yang baik, berkualiti dan mendatangkan banyak kebaikan kepada pengguna.

Hai-O Marketing Sdn Bhd, anak syarikat Hai-O Enterprise Bhd mengedarkan kira-kira 100 produk, dengan produk premium Beautiful Far Infrared Rays dan Bio Aura Nano Technology.

Tan berkata produk yang dipasarkan adalah buatan Malaysia dengan teknologi luar negara termasuk Korea, China dan Jepun.

"Harga produk kami dianggap sederhana dan berpatutan, itulah sebabnya laris sekali dan mudah diterima dengan baik oleh pengguna," katanya.

Beliau berkata syarikatnya yang beroperasi sejak 17 tahun lepas, kini mempunyai 100,000 pengedar di seluruh negara dan menyasarkan 4,000 pengedar baru sebulan.

"Kami kini mempunyai 300 orang usahawan jutawan yang bergelar Pengurus Berlian mahkota (CDM) dan lebih dari 50 stokis di seluruh Malaysia," katanya.

Tan berkata syarikat itu kini mula menerokai pasaran di Indonesia dengan pelancaran rasmi akan dilakukan pada April tahun depan.

Dalam membimbing usahawannya, beliau berkata syarikat itu turut memberi bimbingan dari segi pelan pemasaran, penjualan produk dan insentif.

Sementara itu, MyJ Konsortium Sdn Bhd, syarikat yang menjalankan sistem perniagaan MLM yang memasarkan produk Hai-O Marketing Sdn Bhd, pula menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta sebulan pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Suhaili Yosop berkata 50 usahawan jutawan Melayu yang bergelar CDM disasarkan dilahirkan pada tahun depan berbanding 20 orang sekarang ini.

Beliau berkata sasaran itu diyakini boleh dicapai melalui gerak kerja yang gigih dan sistem pemasaran dikenali "MyJ Projek" yang dilaksanakan sekarang.

Katanya ruang pasaran yang masih luas bagi produk Hai-O di Malaysia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan muda.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

รบ